Search This Blog

Tuesday, July 23, 2013

Kastam Kedah rampas syabu bernilai RM1.8 juta

ALOR SETAR 23 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas sebanyak 9.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1.8 juta dalam dua kes pada Sabtu dan Ahad lalu di Pulau Langkawi dekat sini.
Pengarahnya, Datuk Abd. Aziz Abd. Latif berkata, dalam kejayaan itu, seorang lelaki rakyat Afrika Selatan turut ditahan ketika cuba menyeludup dadah tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Beliau berkata, dalam kes pertama, sepasukan anggota kastam Langkawi menjumpai beg biru yang ditinggalkan pemiliknya di Pejabat JKDM Jeti Kuah, Langkawi kira-kira pukul 4.30 petang, Sabtu lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal ke atas beg itu didapati berisi sebuah beg kecil berwarna hitam bersama beberapa helai pakaian.
“Setelah diperiksa beg hitam tersebut mengandungi dua bungkusan hitam berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 4.3 kilogram bernilai RM816,050.
“Pihak kami sedang mengesan pemilik beg tersebut yang dipercayai lari meninggalkan jeti Kuah selepas menyedari kastam berjaya mengesan dadah dalam beg tersebut," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Abd. Aziz, dalam kes kedua pula, kira-kira pukul 9 malam di lapangan terbang Langkawi, pihaknya menahan seorang lelaki Afrika Selatan berusia 43 tahun yang cuba menyeludup 5.3 kilogram dadah syabu.
“Suspek ditahan ketika membawa sebuah beg berwarna hijau dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah beg kecil berwarna hitam bersama-sama pakaian.
“Selepas diperiksa pihak kami menemukan dua bungkusan hitam berisi syabu bernilai RM1,008,900," ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130723/je_09/Kastam-Kedah-rampas-syabu-bernilai-RM18-juta#ixzz2Zsfgxjip
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment