Kantoi selepas salah mangsa
Siasatan terus dilakukan terhadap pemandu teksi yang kantoi dalam Ops Tegas Bersepadu, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi yang mengenakan caj empat kali ganda daripada caj sebenar berdasarkan bacaan meter kantoi dalam Ops Tegas Bersepadu dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di sekitar ibu negara, malam kelmarin.

Pemandu teksi berkenaan menetapkan tambang sebanyak RM15 untuk perjalanan dari Jalan Raja Chulan ke Hotel Angkasa, walhal caj sebenar hanyalah RM4.60.

Tindakannya itu bagaimanapun memakan diri apabila mangsanya adalah salah seorang anggota operasi yang menyamar sebagai penumpang.

Dalam operasi berkenaan juga, 16 pemandu teksi lain dikenal pasti melakukan kesalahan termasuk 13 tidak menggunakan meter, dua tiada kad pemandu dan seorang menggunakan kad pemandu tamat tempoh.

Pengarah Penguatkuasaan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni berkata, operasi dengan kekuatan 13 pegawai dan 60 anggota itu bertujuan mengekang aktiviti pemandu teksi yang tidak menggunakan meter.

Menurutnya, sebanyak 23 kumpulan penyamaran digerakkan bermula jam 6 petang semalam dan dibahagikan kepada dua fasa.

“Ini adalah operasi ketiga secara bersepadu dijalankan dengan penglibatan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Berdasarkan operasi dijalankan, situasi pemandu teksi yang tidak menggunakan meter ini dilihat masih menjadi budaya, justeru penguatkuasaan berterusan perlu dilakukan,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata, tindakan pemandu yang tidak menggunakan meter disiasat di bawah Seksyen 22, Akta Pengangkutan Awam Darat yang turut akan mengheret pihak pengusaha, selaku pihak bertanggungjawab dan jika disabit bersalah, pengusaha terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, manakala bagi kes pemandu teksi yang dikenal pasti menetapkan harga tambang disiasat di bawah Seksyen 75, Akta Pengangkutan Awam Darat di mana jika sabit bersalah akan dikenakan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita akan mempercepatkan kertas siasatan dengan membuat siasatan terus dan kita akan memberi notis kepada pengusaha terbabit untuk dipanggil bagi melengkapkan siasatan sebelum dibawa ke muka pengadilan.

“Terdapat banyak kes yang didapati sabit salah malah terdapat juga kes ulangan di mana kita dapat mengenal pasti pemandu yang melakukan kesalahan sama. Bagi kes ini, kebiasaannya caj denda yang dikenakan akan meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Che Hasni berkata, enam pemandu teksi yang diperiksa dalam operasi berkenaan, menerima cenderahati daripada SPAD setelah didapati bersih daripada melakukan sebarang kesalahan.