Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Juru x-ray maut kemalangan

Juru x-ray maut kemalangan
Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 27.5, Jalan Tampin- Gemas, di Kampung Tengah, pagi semalam
TAMPIN – Perjalanan seorang juru x-ray dari Segamat, Johor ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bekerja syif pagi berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan dalam kemalangan di kilometer 27.5, Jalan Tampin-Gemas, Kampung Tengah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kereta dipandu Siti Mariam Zakaraia, 25, hilang kawalan selepas melanggar lubang yang sudah membentuk lopak air lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Bapa mangsa, Zakaraia Dahlan, 56, berkata, sebelum ke tempat kerja, anak keempatnya itu sempat mengejutnya di bilik tidur sekitar jam 5 pagi untuk bersalaman seperti biasa.

Menurutnya, anaknya itu sempat bersahur bersama adik-beradik lain dan ibunya, Hapipah Awab, 56, sebelum bergegas pulang ke Seremban.

"Malam sebelum kejadian, kami sekeluarga sudah berhimpun bersama-sama susulan kepulangan arwah adalah bagi melihat adiknya yang baru pulang berpantang di kampung Jumaat lalu," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini, semalam.

Zakaraia, seorang pesara guru berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan sikap anaknya dan mereka lima sekeluarga sempat bercuti bersama-sama ke Bandung, Indonesia pada 4 hingga 7 Julai lalu.

"Arwah merupakan seorang anak yang baik dan semasa bercuti, dia turut memberikan saya baki duit rupiah sekitar RM200 untuk disimpan sebagai kenangan," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mangsa maut di tempat kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lubang dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok.

“Malah, enjin kereta mangsa turut tercabut dan terbakar di lokasi tidak jauh dari kereta mangsa.

"Mayat mangsa di hantar ke HT untuk proses bedah siasat hari ini (semalam)," katanya.

No comments:

Post a Comment