Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Jeritan anak selamat nyawa

Jeritan anak selamat nyawa
Shafik meninjau keadaan rumah Nor Aklima sambil diperhatikan Che Mahadi.
KUANTAN - Tindakan pantas seorang ibu berjaya menyelamatkan bayinya, Amni Melisa Che Mahadi yang berusia satu tahun dua bulan dari disambar api dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Belukar, dekat sini, semalam.

Nor Aklima Abd Majid, 33, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dua anaknya berumur  lima dan empat tahun menjerit 'api!, api!' dari dalam rumah, manakala anak bongsunya pula menangis di dalam buai berdekatan dapur.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang menyiapkan keperluan untuk berniaga di bazar Ramadan bergegas masuk ke ruang dapur dan mendapati jarak api dengan anaknya tidak sampai satu meter.

“Saya terkejut lihat api sudah dekat dengan Amni Melisa yang sedang menangis dan sebahagian tilamnya sudah hangus disambar api dari dapur.

“Syukur saya sempat menyambarnya dan membawa keluar sebelum keseluruhan rumah hangus dijilat api,” katanya.

Nor Aklima berkata, kebakaran itu mengakibatkan dia kehilangan sebuah motosikal dan barangan keperluan harian turut musnah.

Katanya, kerugian dianggarkan RM50,000 kerana semua barangan bengkel suaminya yang diletakkan dalam rumah turut musnah.

“Ketika kejadian, suami saya tiada di rumah dan ketika dia pulang, tiada apa yang boleh diselamatkan kerana api merebak dengan cepat,” katanya.

Jirannya, Ahmad Fariza Mustafa berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 pagi selepas melihat asap masuk ke ruang rumahnya.

Katanya, dia bertindak cepat menyelamatkan barang-barang kerana sebahagian ruang rumah hangus dan ada barang yang turut dijilat api.

“Saya lihat beberapa jiran menyimbah air ke arah rumah Nor Aklima tetapi kami masih tidak mampu menyelamatkan barang-barang di dalam rumah itu kerana api merebak terlalu cepat,” katanya.

Sementara itu, Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, sumbangan segera sebanyak RM5,000 diberikan kepada kepada mangsa, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberi bantuan sesuai dengan keadaan mereka.

No comments:

Post a Comment