Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Ibu selamatkan bayi tidur

Ibu selamatkan bayi tidur
Keadaan rumah yang hanya tinggal rangka akibat kebakaran terbabit.
TELOI TUA (SIK) - Bayi berusia lapan bulan yang sedang nyenyak tidur berjaya diselamatkan ibunya setelah rumah keluarganya terbakar tengah hari semalam.

Norina Md Isa, 30, berkata ketika kejadian, beliau menonton televisyen manakala anaknya, Mohd Asraf Syahrul Amir sedang tidur di dalam bilik.

Beliau menyedari kebakaran apabila ternampak asap dari siling dan hanya sempat mengambil beg tangan dan menyelamatkan Mohd Asraf.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan lain. Tetapi saya tetap bersyukur semua ahli keluarga terselamat.

“Namun saya sedih sebab rumah milik ibu baru sahaja diubahsuai,” katanya ketika ditemui.

Norina tinggal di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan hanya pulang ke kampung pada hujung minggu untuk melihat keadaan rumah berkenaan bersama ibunya, Awizah Yahya, 55.

“Ibu tinggal bersama saya di sana dan rumah ini tiada penghuni. Kami hanya pulang ke kampung pada hari cuti atau hujung minggu,” katanya sambil menganggap kepulangan kali ini memberi pengalaman pahit akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sik, Mohd Faizol Izwan bin Hang Tuah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari dan mengambil masa selama 12 minit untuk sampai ke lokasi kejadian kerana jaraknya yang agak jauh.

Beliau berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan api yang sedang marak.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana empat orang yang menghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.

“Kami mendapat bekalan air dari pili bomba yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran itu.

Mohd Faizol berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu.

Skuad Kesukarelawan Daerah Sik yang diketuai Zulnaidi Abd Razak turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kedatangan kami adalah sekadar membantu mengawal lalu lintas dan meringankan tugas anggota bomba,” katanya.

No comments:

Post a Comment