GRO berasak dalam bilik sempit
Bilik sempit yang menjadi tempat persembunyian yang menempatkan GRO ketika menunggu pelanggan.
GRO berasak dalam bilik sempit
GRO yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya.
PERAI - Bilik menunggu yang men-jadi lokasi rahsia menempatkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing terbongkar dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Seang Tek, Georgetown, semalam.

Pengusaha premis menyediakan bilik berkenaan sebagai tempat persembunyian apabila menerima isyarat daripada tonto atau penjaga sekiranya terdapat kehadiran pihak berkuasa.

GRO terpaksa berhimpit di dalam bilik tersebut di mana pintunya telah diubahsuai bagi memudahkan mereka yang bersembunyi untuk keluar masuk.

Keadaan terlalu sempit menyebabkan mereka yang bersembunyi hanya boleh duduk atau membongkok sahaja sementara menantikan pelanggan.

Penjaga hanya akan mengeluarkan mereka dari tempat persembunyian dan dibawa ke bilik karaoke yang telah ditempah atas permintaan pelanggan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata, cubaan GRO untuk melepaskan diri gagal apabila penguat kuasa berjaya mengesan kewujudan bilik tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan rapi  kira-kira jam 1.10 pagi, terdapat enam wanita warga asing ditemui sedang bersembunyi di dalam bilik itu.

“Kesemuanya menyalahgunakan pas lawatan lawatan sosial ke negara ini dan secara keseluruhannya, seramai lapan orang berjaya ditahan dalam serbuan kali ini,” katanya.

Basri berkata, seramai 13 orang diperiksa termasuk seorang lelaki dan lapan daripadanya didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, melanggar syarat pas atau permit.

“Lima wanita warga China dan dua wanita Vietnam yang bekerja sebagai GRO di premis terbabit serta seorang lelaki warga Myanmar bekerja sebagai pelayan bar akan dikenakan tindakan mengikut kesalahan masing-masing.

“Lima lagi yang turut diperiksa  dibebaskan selepas masing-masing dapat mengemukakan dokumen sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, tugas anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terganggu dek tonto yang berkawal di premis terbabit.

Seorang lelaki yang bertindak sebagai penjaga pusat karaoke itu bukan sahaja naik angin malah mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakan-rakannya kerana gagal menghidu kehadiran anggota penguat kuasa terbabit.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kejadian  tidak diingini berlaku dan kesemua ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.