Gerai makan kotor terima padah
Dua pegawai menampal notis perintah tutup di salah sebuah gerai di Seksyen 2 yang gagal menjaga kebersihan seperti yang ditetapkan.
Gerai makan kotor terima padah
Dr Azman dan pegawainya memeriksa saluran air di bahagian belakang premis.
SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengarahkan 17 daripada 24 premis makanan di Seksyen 2 di sini ditutup sementara selama dua minggu di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, premis tersebut diarahkan tutup kerana tahap kebersihan kurang memuaskan selepas diperiksa dan dinilai oleh 75 pegawai penguat kuasa jabatan tersebut.

“Ada yang kita periksa mematuhi tahap yang dikehendaki iaitu 65 peratus ke atas. Kalau kurang 65 peratus mengikut kriteria Jabatan Kesihatan, diarah tutup,” katanya ketika Operasi Penutupan Premis Makanan Tidak Bersih di daerah Petaling di sini, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu, pengusaha premis makanan terbabit perlu meningkatkan tahap kebersihan premis mereka seperti diarahkan pegawai penguat kuasa yang menjalankan operasi.

Dr Azman berkata, memandangkan premis makanan ini begitu banyak, jadi operasi ini dijalankan secara integrasi dengan bantuan penguat kuasa daerah lain di Selangor.

Beliau berkata, penilaian dibuat berdasarkan semua aspek termasuk penyediaan makanan; tempat penyediaan makanan mentah; struktur penyimpanan makanan; saluran air; pengendali makanan dan pelbagai kesalahan lain membabitkan kebersihan.

Katanya, selain penguatkuasaan, pihaknya secara tidak langsung memberikan ilmu pengetahuan tentang kebersihan dan penerangan secara terperinci mengenai kebersihan.

“Kita melihat semua isu, sebab utama penutupan adalah tahap kebersihan makanan rendah; pengendali tidak mendapatkan suntikan pencegahan tifoid; pengendali tidak memakai apron atau penutup kepala; kuku panjang dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan tidak mahu orang awam keracunan makanan memandangkan  daripada data setakat tahun lalu sebanyak 63 episod keracunan makanan di Selangor.

“Daripada jumlah itu, ia melibatkan 1,617 kes keracunan makanan. Setakat Januari sehingga Julai tahun ini, 40 episod keracunan makanan yang melibatkan 841 kes.

“Kalau kita tengok dari aspek pecahan wabak di mana berlakunya kes ini pada tahun ini, sekolah (18), gerai dan restoran (9), institusi (6), rumah sendiri (3), katering (3) dan rumah kebajikan (1),” katanya.

Beliau berkata, setiap pegawai diberikan kad kuasa melaksanakan tugas, jika tidak mereka tidak boleh melaksanakan penguatkuasaan ini.