Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Gempa kuat landa Aceh, 25 terkorban


Penduduk Kampung Lampahan keluar dari kediaman masing-masing bagi menyelamatkan diri selepas gempa bumi kuat melanda wilayah Aceh, kelmarin. - AFP
JAKARTA 3 Julai - Sebanyak 25 orang disahkan terkorban, sementara 250 orang lagi cedera dalam kejadian gema bumi berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda daerah Bener Meriah, Aceh pada petang Selasa lalu.
Tragedi itu turut memusnahkan beratus-ratus bangunan dan rumah penduduk.
Menurut laporan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, 12 orang meninggal dunia di daerah Bener Meriah, sementara selebihnya meninggal dunia di Aceh Tengah.
Mangsa yang cedera akibat gempa itu pula terdiri daripada 140 orang di Aceh Tengah dan 70 orang lagi di Bener Meriah. Mereka kini dirawat di hospital daerah masing-masing.
Gempa bumi menggegarkan wilayah Aceh pada pukul 2.37 petang waktu tempatan pada Selasa lalu berpusat di 35 km Barat Daya daerah Bener Meriah.
Ia diikuti dengan dua gempa susulan di tempat yang sama tidak lama kemudian, dengan kekuatan 5.5 pada skala Richter dan 5.3 skala Richter.
Sementara itu, Ketua BNPB Syamsul Maarif, sudah melaporkan perkembangan terkini bencana itu kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Pada masa sama, pihak berkuasa sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani bencana itu.
Gempa itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 1,500 bangunan termasuk rumah, masjid dan pejabat kerajaan musnah. Penduduk yang terbabit kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan.
Menurut Syamsul, pasukan gabungan BNPB dengan semua kementerian serta agensi berkaitan telah berada di Bener Meriah untuk melakukan penyelarasan usaha bantuan dan penilaian.
"BNPB juga menghantar sebuah helikopter Collibri tentera udara Indonesia (TNI AU) dari Pekanbaru ke Aceh untuk wilayah perbatasan antara Bener Meriah dan Aceh Tengah," katanya.
BNPB turut menggunakan pesawat CN 235 tentera udara Indonesia untuk mengambil gambar dari udara dan membuat penilaian tentang kesan kemusnahan itu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130704/lu_07/Gempa-kuat-landa-Aceh-25-terkorban#ixzz2Y5MnZ9U1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment