Edar dadah dalam kawasan semak
Antara 27 individu yang ditahan dalam Ops Tapis, kelmarin.
PORT DICKSON – Seorang pembekal yang membawa 17 paket dadah antara 27 individu yang ditahan sepasukan polis dalam Operasi Tapis membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan semak di Kampung Tanjung Agas, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abd Wahab Harun berkata, operasi dijalankan pada jam 5 pagi dan berakhir kira-kira 12 jam kemudian menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dipercayai pembekal dadah di kawasan itu bersama 26 penagih lain.

"Lelaki itu berjaya ditahan bersama dua lagi penagih sekitar jam 9 pagi yang membawa kepada penemuan 17 paket dadah jenis heroin seberat 24.5 gram di dalam beg selempang yang dibawa bersama telefon bimbit.


"Melalui telefon bimbit tersebut, polis mengarahkan lelaki itu menghubungi pelanggannya untuk datang mendapatkan bekalan dadah sebelum kemudiannya polis bertindak melakukan tangkapan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Abd Wahab berkata, kesemua individu yang ditahan adalah terdiri daripada 25 lelaki dan dua perempuan berusia antara 20 hingga 55 tahun.

"Mereka didapati bekerja sebagai buruh dan nelayan sementara salah seorang daripada mereka adalah anggota tentera.

“Serbuan diketuai oleh Inspektor Nur Saiful Asrar Mohd Najih membabitkan 12 anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson dan jabatan Siasatan Jenayah IPD Port Dickson hasil daripada maklumat orang ramai dan risikan polis,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati dan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah.