Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Dua remaja jadikan warga Nepal sasaran samun



BATU PAHAT - Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Kelicikan dua remaja lelaki yang menjadikan aktiviti samun sebagai sumber pendapatan utama berakhir apabila lokasi persembunyian mereka di sebuah rumah di Tongkang Pechah, di sini, diserbu polis, Selasa lalu.

Selain penduduk setempat, mereka turut mensasarkan warga asing terutama yang berasal dari Nepal dan 'menyapu' semua barang milik mangsa termasuk Nescafe 3 in 1.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang berkata, dalam serbuan jam 4 pagi itu, suspek cuba melarikan diri namun tidak berhasil kerana telah dikepung.

Menurutnya, suspek berusia 18 dan 21 tahun itu sedang berehat sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Berdasarkan pemeriksaan, kita telah merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama dan mata wang Nepal berjumlah 350 Rupee.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek turut terlibat kes curi motosikal apabila polis menemui nombor pendaftaran palsu di dalam rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Mat Razali berkata, pihaknya masih melakukan siasatan kes jenayah lain yang melibatkan kedua-dua suspek dan  setakat ini salah seorang  suspek memang mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes curi motosikal serta samun.

Jelasnya, suspek kini ditahan reman sehingga esok sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun melibatkan warga asing di daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment