Nik Muhd. Rafiq Abd. Ghani
Remaja belasan tahun ditahan polis selepas diserahkan orang awam kerana meragut beg tangan seorang wanita.
TANAH LOT – Dua peragut, termasuk seorang daripadanya remaja belasan tahun bukan sahaja tidak sempat menikmati untung hasil kerja jahatnya itu, malah menerima habuan apabila cedera teruk dibelasah orang awam.

Dua suspek terbabit yang dikatakan membonceng motosikal sebelumnya meragut beg tangan seorang wanita yang baru keluar dari pasar raya berdekatan.

Namun, tindakannya itu disedari orang awam yang berada di situ lalu bertindak mengejar sebelum berjaya menendang motosikal ditunggangi suspek sehingga terjatuh.

Dua peragut termasuk seorang daripadanya remaja belasan tahun yang sudah diberhentikan sekolah itu kemudiannya dibelasah orang awam sebelum diserah kepada pihak polis.

Seorang daripadanya difahamkan mempunyai rekod penyalahgunaan dadah cedera di muka dan anggota badan sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Berikutan tangkapan terhadap dua peragut itu, seorang lagi remaja belasan tahun berjaya ditahan di Rantau Abang yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes ragut dilaporkan sebelumnya.

Polis mengesahkan kejadian dan tiga suspek berkenaan kini sedang disiasat. Mangsa ragut bagaimanapun dilaporkan hanya cedera ringan.