Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Dua ditahan edar dadah

Dua ditahan edar dadah
Noor Mushar (tengah) menunjukkan barangan kes dirampas polis pada sidang media di IPD Sabak Bernam, semalam.
SABAK BERNAM – Seorang yang wanita sanggup mencemar kemuliaan Ramadan dengan menjalankan sindiket pengedaran dadah di sekitar Bagan Sekinchan, di sini, akhirnya dicekup pasukan polis, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, operasi jam 11.30 malam itu diketuai Inspektor Nasrul Yamani Mohd Yusof dan lima anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sabak Bernam.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun membawa beg plastik itu ditahan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Bagan Sekinchan selepas dipercayai baru lepaskan gian dengan mengambil dadah.

“Dalam ‘Ops Tapis’ itu, polis menahan seorang wanita dan merampas beg plastik mengandungi 12 peket plastik lut sinar disyaki heroin seberat 188.7 gram dan tiga foil setiap satu mengandungi 10 pil disyaki eramin 5 seberat 9.3 gram.

“Dalam rampasan itu juga, pasukan polis turut menjumpai 10 peket plastik lut sinar disyaki syabu dengan berat 7.28 gram,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini, semalam.

Noor Mushar berkata, suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu dengan  memasukkan dadah ke dalam peket kecil sebelum diedarkan di sekitar kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, polis turut merampas RM10,000 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai untuk memudahkan urusan jual beli serta pengedaran dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, malah suspek juga boleh didakwa mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan anggota polis narkotik IPD Sabak Bernam berjaya menahan seorang lelaki warga asing di atas sebuah bot nelayan di Bagan Sungai Besar, awal pagi Ahad lalu.

Katanya, semasa serbuan, suspek berusia 32 tahun itu cuba lari, namun berjaya diberkas hasil kecekapan polis.

“Hasil pemeriksaan badan, polis menjumpai satu beg plastik mengandungi enam peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki heroin seberat 48.60 gram dari poket kanan seluar pendeknya," katanya.

Beliau berkata, suspek aktif menjalankan aktiviti pengedaran di sekitar Bagan Sekinchan dan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pemeriksaan polis juga dapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai masuk melalui Thailand pada 2008,” katanya.

No comments:

Post a Comment