Dua beradik durjana kantoi
Anggota polis menaikkan rangka motosikal yang dibuat ke dalam gaung.
BALING - Kegiatan dua beradik yang aktif mencuri motosikal di sekitar daerah ini akhirnya tumpas apabila mereka ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling.

Hasil soal siasat mendapati dua beradik berumur 25 dan 19 tahun itu dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di pasar malam Kuala Ketil.

Penahanan kedua mereka akhirnya berjaya menemukan semula rangka motosikal yang dipercayai dicuri awal tahun ini yang dibuang ke dalam gaung berdekatan Kuari Pasir di Kampung Pantai Chicar, Kuala Ketil.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, kedua mereka mereka amat licik kerana berjaya melepaskan diri dari anggota polis yang cuba menahan mereka sebelum ini.

Menurutnya, operasi Ops Lejang itu disertai empat anggota dan diketuai Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah, Inspektor Abd Aziz Md Resof.

“Hasil siasatan, lelaki berusia 19 tahun itu mengaku membuang rangka motosikal itu ke dalam gaung bersama seorang lagi rakannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, polis sedang giat memburu beberapa lagi rakan mereka yang dikenali sebagai Om dan Mat Singa dipercayai terlibat dan kegiatan mencuri motosikal ini.

“Kita yakin semua mereka ini akan ditahan tidak lama lagi. Tiada seorang yang akan terlepas, kita akan siasat, intip dan tahan.

"Kita tidak sama sekali akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya.
Sebelum ini, IPD Baling berjaya menahan remaja berusia 16 tahun yang nekad menanam rangka motosikal di belakang rumahnya.

“Remaja terbabit memang pakar dalam meleraikan motosikal yang dicuri malah bertindak menjual komponen motosikal itu kepada rakan-rakannya dengan harga yang murah,” katanya.

Penahanan remaja terbabit juga membongkar kes berangkai kes kecurian motosikal yang melibatkan tujuh remaja termasuk remaja terbabit.

Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.