Didakwa rogol kekasih
Tertuduh dikawal anggota polis menuju ke kaunter pembayaran untuk urusan jaminan.


KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol kekasihnya yang masih bawah umur, 9 Julai lalu.

Tuduhan ke atas remaja 18 tahun itu dibuat di hadapan Hakim Mohd Yusuff Yunus oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali.

Dia didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun 10 bulan di sebuah rumah di Jalan PCB, Taman Sri Sentosa, Badang di sini, pada jam 8 pagi, tarikh berkenaan.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. Tertuduh bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Ogos depan.

Manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bersyarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pihak pendakwaan. Dia kemudian dibebaskan sementara waktu selepas menjelaskan duit jaminan.