Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Dicekup ketika pecah kereta

Dicekup ketika pecah kereta
Suspek yang dipercayai memecah masuk sebuah kereta, awal pagi semalam.
HULU SELANGOR – Hasil kerjasama penduduk dan polis berjaya memberkas seorang suspek yang memecah masuk sebuah kereta yang diletakkan di laman sebuah rumah di Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, awal pagi semalam.

Penjenayah berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai menceroboh rumah teres dua tingkat itu dengan memanjat pagar sebelum memecah masuk kereta Proton Persona milik mangsa, kira-kira jam 6 pagi.

Penduduk, Ramle Mey berkata, ketika kejadian keluarga mangsa yang berada di dalam rumah itu tidak menyedari kehadiran suspek tersebut.

“Mangsa yang baru pulang dari surau berhampiran mendapati suspek itu sedang menggeledah keretanya,” katanya.

Ramle berkata, suspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran mangsa bersama tiga penduduk.

“Penduduk menangkap suspek berkenaan kemudian menyerahkannya kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, polis turut menjumpai sebilah parang pada motosikal yang dipercayai dinaiki suspek itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa berhubung kejadian itu.”

“Difahamkan suspek sama juga pernah ditahan berhubung kes curi tabung masjid berhampiran kira-kira dua minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkifli Bidin mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat kes tersebut.

“Kami menghargai kerjasama penduduk di kawasan itu dalam membantu menangkap suspek berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment