Search This Blog

Monday, July 8, 2013

‘Diam’ selepas sapa suami


Kuala Krai: “Sejurus kemalangan, isteri sempat bertanya ‘macam mana ni bang?’ sebelum terus mendiamkan diri. Ketika itu saya sudah merasakan isteri sudah tiada. Pada masa sama, anak bongsu menangis kesakitan kerana tersepit,” kata Ishak Yaakob, 57, suami Salmah Che Kub, 48, yang maut selepas lori dinaiki mereka melanggar pacuan empat roda sebelum hilang kawalan lalu merempuh pokok mempelam di Kilometer 94.1 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Salmah dari Kampung Baruh Kercut, Tok Uban, Pasir Mas, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selain hancur tangan kanan manakala anaknya daripada tiga anaknya yang menaiki lori itu, Izzah Irdina Ishak, 5, parah dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.


Ishak dan dua lagi anaknya Iffah Irdina, 9, serta anak hasil perkahwinan pertama Salmah, Syaza Syahrain Shafin, 24, cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Krai.

Mayat Salmah dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bujuk, Tok Uban, Pasir Mas, jam 12 tengah malam tadi. Ishak yang memandu lori itu berkata, mereka dia bersama isteri dan tiga anaknya dalam perjalanan dari rumah mentuanya di Kampung Baruh Kercut pada jam 11.30 pagi dengan membawa anak getah untuk dihantar ke Kuala Lipis, Pahang sebelum pulang ke rumah mereka di Kuala Selangor, Selangor.


Menurutnya, lorinya berlanggar dengan Toyota Hilux yang tiba-tiba membelok ke kanan sebelum hilang kawalan lalu merempuh pokok mempelam di depan sebuah rumah tidak berpenghuni.


“Saya turun meminta bantuan penduduk membantu saya mengeluarkan isteri dan anak tetapi tiada seorang pun yang menghulurkan bantuan.

“Ramai datang tetapi kebanyakannya bukan membantu, sebaliknya mengambil gambar. Mujur ada sepasukan tentera berhenti di tempat kejadian dan membantu kami sebelum ambulans tiba,” katanya.


Katanya, dia reda dengan kejadian itu yang dianggapnya sebagai takdir.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Nuraddin Din Wahab mengesahkan kejadian.

No comments:

Post a Comment