Dakwa isteri larikan dua anak
Dua anak Mohd Jam'i yang dibawa pergi oleh isterinya.
Dakwa isteri larikan dua anak
Mohd Jam ’i
BATU CAVES - “ Saya bimbang akidah anak-anak saya dipesongkan sekiranya isteri membawa anak pulang ke Flores, Indonesia,” kata Mohd Jam’i Hassan, 41, yang merayu kepada isterinya, Maria Adelheid, 30, warga Indonesia agar pulang ke pangkuan keluarga setelah keluar rumah sejak dua bulan lalu.

 Menurutnya, isterinya telah membawa lari dua anaknya iaitu Iskandar Zulkarnain Alaudin Shah, 4, dan Aidilfitri Alaudin Shah, 2, pada 11 Jun yang lalu tanpa pengetahuannya.

 Kata Jam’i, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mereka setelah dia melarang isterinya bekerja kerana tiada permit tinggal di Malaysia dan bergantung kepada permit ikut suami.

“Bagaimanapun, saya percaya kehilangan ini angkara orang ketiga yang menghasut isterinya melarikan diri sejak dia mula bekerja di sebuah pasar raya di Selayang.

“Saya sangat yakin apabila banyak bukti orang ketiga cuba menghasut isteri saya melalui Facebook dan SMS dan kebanyakannya adalah warga asing yang bekerja di sini,” katanya yang tinggal di Selayang Baru, Batu Caves, semalam.

Jam’i berkata, apa yang paling membimbangkan sekarang adalah nasib anak-anaknya yang mungkin akan dimurtadkan sekiranya di bawa pulang ke pangkuan keluarga isteri di Flores, Indonesia kerana isterinya sebelum ini seorang penganut Kristian.

Katanya lagi, lebih membimbangkan apabila kesemua dokumen dirinya seperti sijil kelahiran, sijil nikah dan kad pengenalan dirinya turut dibawa lari oleh isterinya.

“Saya bimbang isteri menyalahgunakan dokumen tersebut dan seterusnya mempergunakan anak-anaknya bersama pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan duit.

“Ada sumber mengatakan isterinya telah membawa anak-anak saya ke Indonesia dan saya telah cuba dapatkan bantuan Wisma Putra tetapi sukar kerana kedua-dua anak masih belum menerima kerakyatan Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, dia  mencari keluarganya hampir sebulan termasuklah di Johor, Perak dan Negeri Sembilan sehinggakan menghadapi masalah kesihatan seperti ulser dan tulang saraf.

“Saya terlalu khuatir dengan keselamatan anak-anak kerana saya dapat merasakan setiap degupan jantung mereka kerana amat rapat dengan saya berbanding isteri.

“Saya merayu kepada isteri agar pulang ke rumah demi keselamatan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dan tidak mempergunakan mereka untuk kepentingan diri,” katanya.

Sementara itu, ibu Jam’i, Fatimah Abu Bakar berkata, dia bimbang nasib cucunya itu dan setiap hari terbayang-bayang keadaan mereka.

“Sebelum menantu membawa lari cucu saya, dia pernah memberitahu hendak pergi ke Australia untuk bekerja sebagai orang gaji di sana kerana gaji yang lumayan.

“Tapi saya percaya kehilangannya ada kaitan dengan kewujudan orang ketiga yang telah menghasutnya sejak dia mula bekerja dan mengenali beberapa pekerja dan warga asing di sini,” katanya.