Search This Blog

Friday, July 26, 2013

Dadah: Warga Bangladesh dipenjara, sebat



SHAH ALAM - Seorang penjual ais krim warga Bangladesh hari ini dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memiliki 400 biji pil Eramin 5, pada September tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan Sohal Heron, 29, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap, 16 Septembetr 2012 selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata tertuduh sepatutnya memikirkan keluarga di kampung sebelum melakukan kesalahan itu.

"Mahkamah berpendapat awak mesti dijatuhi hukuman berat bermula dari tarikh ditangkap," katanya.

Sohal didakwa memiliki 400 biji pil Nimetazepam (Eramin 5) seberat 18.8 gram, di Lot 3373, Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang, dekat sini, pada 12.05 tengah hari, 16 September 2012.

Dia dihukum mengikut Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah selepas mahkamah meminda pertuduhan itu daripada mengedar kepada memiliki.

Terdahulu, Sohal merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya atas alasan dia adalah anak tunggal dan menanggung keluarga di Bangladesh.

"Saya juga insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan saya. Pohon hukuman ringan kerana saya ingin kembali ke negara asal," katanya yang nturut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh melakukan jenayah berat ketika berada di Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment