Campak anak dari tingkap
Che Dupa melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kempadang, awal pagi semalam.
KUANTAN - “Sebelum keluar rumah, saya dah rasa tak sedap hati, tapi saya ingatkan itu hanya mainan perasaan saja,” demikian kata mangsa kebakaran, Che Dupa Che Daud, 33, ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Kempadang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, dia bersama isteri, Anderi Diana Nurdin, 29, tiada di rumah kerana keluar membeli pakaian raya untuk tiga anak lelaki mereka iaitu Che Muhammad Aqlan, 6, Che Muhammad Aqil, 4, dan Che Muhammad Aqashah, 3.

Che Dupa berkata, dia keluar kira-kira jam 12 tengah malam untuk ke tapak ekspo di bandar dan meninggalkan tiga anaknya di rumah bersama dua adik ipar, Mohd Shaharan, 18, dan Aina Najihah, 17, namun pada jam 3.15 pagi, dia menerima panggilan daripada adik ipar memaklumkan kejadian itu.

“Semasa di tapak ekspo saya berjumpa rakan dan diajak minum di kedai, kami leka bersembang sehingga jam 3 pagi malah tak sempat nak beli pakaian raya seperti yang dirancang.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, kira-kira jam 3 lebih, adik ipar, Mohd Shaharan telefon beritahu rumah terbakar,” katanya.

Che Dupa berkata, sebaik tiba, dia melihat hampir 80 peratus rumahnya sudah musnah dan tiada apa yang dapat diselamatkan.

“Kejadian berlaku dengan cepat, malah adik ipar saya bertungkus-lumus menyelamatkan ketiga-tiga anak saya dengan mencampak mereka melalui tingkap di sebelah kanan rumah,” katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana tiga anak dan dua iparnya selamat dalam kejadian awal pagi itu.

“Saya reda, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian pada bulan yang mulia ini.

“Buat masa ini, saya sekeluarga menumpang di rumah saudara yang berdekatan,” katanya.

Che Dupa yang bekerja sebagai pemandu lori itu berkata, kerugian dianggarkan bernilai RM45,000.