Besi penutup longkang hilang
Longkang berhampiran pondok menunggu bas dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong yang tidak berpenutup berbahaya kepada pelajar.
Besi penutup longkang hilang
Mohd Shahriman melihat keadaan longkang yang 'melopong' akibat penutupnya dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
BENUS - Penduduk mohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan besi penutup longkang yang menjadi sasaran pencuri barang lusuh di kawasan Bukit Piatu, dekat sini.

Seorang penduduk, Mohd Shahriman Abdul Latif, 34, berkata, besi penutup longkang terutama berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong hilang, dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kejadian terbaru berlaku Isnin lalu melibatkan besi penutup longkang berhampiran kedai runcitnya, dekat sini.

“Apa yang membimbangkan, ketiadaan penutup longkang itu berbahaya kepada orang ramai terutama pelajar sekolah kerana kedudukan longkang di tepi jalan utama.

“Terdapat penutup longkang yang dicuri begitu hampir dengan pondok bas sekolah dekat sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shahriman berkata, walaupun tiada insiden tidak diingini berlaku setakat ini, namun tindakan segera perlu diambil termasuk menggantikan penutup longkang yang hilang itu.

Katanya, longkang di situ agak dalam berbanding longkang biasa kerana ia adalah longkang utama.

“Saya cadangkan PBT letak penutup longkang yang kekal iaitu tidak boleh ditanggalkan supaya masalah kecurian tidak berulang,” katanya.