Berlakon demi cari mangsa
Orang ramai diminta berhati-hati ketika berada di sekitar pekan Rantau Panjang kerana terdapat individu berpura-pura tidak mempunyai wang sejak akhir-akhir ini.
RANTAU PANJANG – Peniaga pekan Rantau Panjang meminta orang ramai berhati-hati sekiranya didekati lelaki yang mendakwa tidak mempunyai wang.

Dakwanya, lelaki berkenaan akan memaklumkan bahawa dia berasal dari selatan Thailand dan kehabisan wang serta memintanya untuk tujuan tertentu.

Katanya, cara itu digunakan untuk menarik perhatian sebelum bertindak, jika berpeluang berbuat demikian terutama di kawasan agak jauh dari orang ramai.

Tambahnya, alasan itu digunakan memandangkan ia mudah menarik perhatian orang prihatin.

Seorang peniaga dikenali sebagai Ma berkata, lelaki berkenaan memaklumkan dia kehabisan wang dan akan bertindak sebaik orang ditemuinya terutama wanita membuka beg untuk mengambil wang.

Katanya, perkara ini kerap berlaku di pekan Rantau Panjang kerana kawasan ini kerap dikunjungi orang ramai.

“Perkara sebegini kerap berlaku, orang ramai perlu berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa.

“Alasan tidak mempunyai wang adalah rutin individu berkenaan untuk mengabui mata orang ramai sebelum bertindak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika membuat tinjauan di pekan Rantau Panjang tengah hari semalam, wartawan Sinar Harian turut melalui situasi sama apabila seorang lelaki menunggang motosikal berpendaftaran negara jiran menghampiri kereta dan mengetuk cermin sebelah pemandu.

Dia yang berpakaian selekeh memaklumkan datang dari Patani dan tidak mempunyai wang untuk mengisi minyak.

Sebaik memaklumkan tidak mempunyai wang ketika itu, lelaki berkenaan terus berlalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi Sinar Harian petang semalam memaklumkan beliau tidak menerima laporan berhubung kes berkenaan.