Barangan elektrik lesap
Keadaan rumah sewa mangsa di Kampung Bukit Tokbat sunyi sepi dan semua pintu tertutup rapat.
KUALA BERANG - Seorang lelaki terkedu apabila mendapati barangan elektrik di rumah sewanya di Kampung Bukit Tokbat, di sini lesap dipercayai dicuri penjenayah yang memecah masuk ketika dia tiada di rumah.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku jam 7 pagi hingga 4.30 petang antara 27 Jun dan 1 Julai lalu ketika rumah berkenaan tiada berpenghuni memandangkan mangsa berumur 43 tahun dan bekerja sendiri itu pulang ke Kampung Kesom, Manir.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, mangsa hanya mengetahui kejadian tersebut apabila pulang kembali ke rumah sewanya petang Isnin lalu dan mendapati terdapat kesan umpil di pintu depan rumah itu.

“Mangsa kemudiannya memeriksa rumahnya dan mendapati beberapa barangan elektrik lesap. Antaranya sebuah televisyen, peti sejuk, mesin basuh, dua buah kipas angin, sebuah periuk nasi elektrik, satu dapur gas serta satu tong gas.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek berjaya masuk ke dalam rumah setelah mengumpil pintu utama rumah sewa tersebut dan memunggah keluar barang dicuri. Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM3,000," katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya telah berjaya menahan seorang peniaga wanita berusia 27 serta seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh berumur 29 tahun, dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah ini bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat mendapati kedu-dua suspek mengaku terlibat dalam kes ini. Rampasan barang kes belum dibuat dan suspek akan dibawa untuk reman bermula hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 kerana pecah rumah,” katanya.

Tambah Mohd Ismail, pihak polis turut menasihatkan orang awam supaya meningkatkan tahap keselamatan di rumah masing-masing termasuk menggunakan kunci tambahan serta memaklumkan kepada jiran tetangga jika tiada di rumah.

Sementara itu, ketika tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati kesemua pintu rumah berkenaan tertutup rapat selain tiada berpenghuni.