Search This Blog

Sunday, July 14, 2013

Bapa maut bersama motosikal kesayangan



KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain dalam kemalangan di KM 5, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Panti, di sini, malam tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Raman Yacob, 44, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala apabila terjatuh dan diseret beberapa meter di bahu jalan.
 
Anak mangsa, Mohd Rizuan Raman, 23, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika bapanya dalam perjalanan pulang selepas bertemu rakannya di bandar Kota Tinggi.
 
"Saya ada berselisih dengan ayah yang menunggang motosikal jenis Honda C70 kesayangannya sewaktu melalui kawasan perkuburan Kampung Temenin kira-kira pukul 10.15 malam tadi.
 
"Kami hanya berpandangan semasa berselisih sebelum saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari seorang rakan yang memaklumkan ayah terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 11.10 malam," katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Mohd Rizuan yang merupakan anak sulung dari enam beradik berkata dia difahamkan ayahnya dilanggar dari arah belakang oleh sekumpulan empat remaja yang menunggang motosikal secara melulu dengan salah seorang daripada mereka telah merempuh ayahnya sehingga menyebabkan terjatuh.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Noor Rasid ketika mengesahkan kejadian terbabit berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Kampung Bukit Lintang telah dilanggar dari arah belakang oleh motosikal dari arah sama.
 
"Mangsa meninggal di tempat kejadian manakala penunggang motosikal jenis Honda Wave yang melanggar mangsa mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi," katanya ketika dihubungi.
 
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

No comments:

Post a Comment