Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Bakal beraya dipenjara

Bakal beraya dipenjara gara-gara pecah rumah
Hazidee dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memecah masuk dan mencuri barangbarang bernilai keseluruhan RM1,000.
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur terpaksa menyambut Lebaran di sebalik tirai besi apabila Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atasnya selepas mengaku bersalah melakukan jenayah pecah rumah.

Hazidee Che Haris, 20, dari Kampung Padang Hangus, Tepoh, di sini, terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat oleh Majistret Abdul Hayyi Salim bagi kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu.

Terdahulu, Hazidee mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah televisyen; sepasang speaker; sebuah pemain DVD dan sebuah enjin pam air milik Ab Rahman Salleh, 51.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan, pada 5 Julai lalu antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang di rumah mangsa di Kampung Baru, Tepoh, di sini.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah meninggalkan kediamannya itu pada jam 8 pagi, hari kejadian, untuk ke rumah satu lagi miliknya di Kampung Gomok, Tepoh.

Bagaimanapun, kira-kira jam 3.30 petang, apabila pulang semula ke rumahnya, mangsa dapati ada kesan pecah di bahagian pintu dapur belakang rumah sebelum membuat pemeriksaan mendapati barang-barang yang bernilai keseluruhan RM1,000 hilang.

Yakin rumahnya dipecah masuk, mangsa membuat laporan di balai polis dan susulan laporan dibuat, Hazidee ditahan pada 7 Julai lalu, kira-kira jam 12 tengah malam, di sebuah rumah kosong di Kampung Balai Maras, Batu Rakit, di sini.

Hasil siasatan, Hazidee mengaku memecah masuk dan mencuri barang-barang berkenaan dan telah pun menjualkan kepada rakannya di Kampung Panchur Kuin dengan harga RM85 sahaja.

No comments:

Post a Comment