Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

‘Atan’ diburu curi 5 kenderaan


Taiping: Seorang lelaki dikenali sebagai `Atan’ yang juga dalang sindiket curi dan seludup kereta terpakai menjadi buruan polis selepas dikesan giat melakukan jenayah itu di negeri ini dan Kedah sejak beberapa bulan lalu.

Suspek yang berusia 23 tahun dikesan turut bertanggungjawab melarikan lima kenderaan milik syarikat menjual kenderaan terpakai di Assam Kumbang, di sini, pada 12 Jun lalu.


Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dalam kejadian jam 3.20 pagi itu enam suspek dikesan muncul di lokasi itu sebelum melarikan lima kenderaan milik syarikat berkenaan.



“Bertindak di atas laporan dan maklumat diterima, pihak polis berjaya mengesan sebuah kereta dicuri model Honda Civic di Jalan Kerian berhampiran Bukit Merah sehari selepas kejadian.


“Polis turut menemui semula sebuah kenderaan dicuri model Toyota Hilux berwarna putih melalui satu sekatan jalan raya di kawasan Plaza Tol Jitra pada 19 Jun lalu,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua suspek yang memandu kenderaan itu dipercayai anggota kumpulan penjenayah berkenaan. “Suspek yang berusia 30-an itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan mendapati mereka positif mengambil dadah,” katanya.

Yusuf berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang lagi suspek bersama sebuah kereta model Toyota Hilux, di Kampung Pengkalan Kechil, Tikam Batu, Kedah pada 22 Jun lalu.


“Kenderaan berkenaan dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu. Hasil siasatan mendapati kereta itu adalah salah satu daripada lima kereta yang dilaporkan dicuri sebelum ini.

“Susulan itu polis kini sedang memburu ketua kumpulan sindiket terbabit yang dikenali sebagai Atan atau nama sebenar Shamsul Niezam Ahmad, 23 tahun berasal dari Taman Mewah, Taiping,” katanya.


Menurutnya, polis turut menjejaki seorang lagi suspek dikenali Mohd Adam Mohd Isa, 23, berasal dari Kampung Bukit Kechil, Tikam Batu, Kedah.


“Dua daripada suspek yang diberkas pada Jun lalu masih ditahan polis untuk siasatan lanjut manakala seorang lagi suspek sudah dituduh dan diikat jamin sebanyak RM7,000,” katanya.


Beliau berkata, semua suspek berusia 20 hingga 28 tahun dipercayai cuba menyeludup kenderaan dicuri itu ke Thailand.


“Siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi,” katanya.

No comments:

Post a Comment