Search This Blog

Wednesday, July 17, 2013

Anak mati dalam tahanan

Anak mati dalam tahanan
Bok Seng (dua, kiri) ditemani Choo Kiong (kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Batu Gajah, semalam. (Gambar kecil) Terdapat kesan lebam hitam pada telinga dan tengkuk mangsa.
IPOH - Seorang tahanan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas didakwa mati dalam tahanan di sebuah pusat pemulihan, malam kelmarin.

Bapa mangsa, Chew Bok Seng, 60, dimaklumkan mengenai kematian anaknya, Chew Shiang Giap, 26, di pusat berkenaan pada awal pagi semalam oleh pihak polis.

“Saya dimaklumkan melalui telefon pada jam 2.19 pagi tadi (semalam) bahawa anak saya meninggal dunia tiba-tiba akibat sakit perut.

“Setiba dari Perlis sekitar jam 8.30 pagi, kami dibenarkan melihat mayat anak kami di Hospital Batu Gajah (HBG) namun apa yang menghairankan terdapat kesan hitam di bahagian bahu dan tengkuk, telinga termasuk peha mangsa dan ia amat meragukan.

“Tak mungkin jika sakit perut boleh meninggalkan kesan seperti itu pada anggota badan anak saya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Bok Seng menambah, anaknya sebelum ini ditahan reman 60 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kerana kesalahan dadah sebelum di bawa ke pusat pemulihan berkenaan.

“Ketika ditahan di Perlis, setiap minggu saya ada melawat beliau malah sebelum dibawa ke Batu Gajah, Jumaat lepas keadaan beliau sihat seperti biasa.

“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan ke atas kematian anak saya untuk mencari jawapan sebenar kematian mengejut mangsa,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Batu Gajah.

Sementara itu, Adun Tronoh, Yong Choo Kiong berkata, pihaknya berharap agar satu siasatan segera dapat dijalankan demi kebaikan semua pihak.

“Kita mohon kerjasama polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh kematian Shiang Giap yang dikhabarkan mati dalam tahanan pusat pemulihan berkenaan.

“Keluarga mangsa inginkan keadilan dan jawapan kepada kematian anak mereka, jadi saya harap perkara ini diberi perhatian serius,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan membantu keluarga Bok Seng dari segi khidmat guaman sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment