Search This Blog

Thursday, July 4, 2013

Air mata pilu


Kota Bharu: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Ramadan minggu depan, sepasang suami isteri hanya mampu menitiskan air mata selepas melihat rumah mereka musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Kenali, Kubang Kerian, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 7 malam itu menyebabkan Mohamad Ismazani Ismail dan Sharifah Rosmira Syed Ghami, masing-masing berusia 29 tahun bersama dua anak kecil, Nurul Ira Mahiran, 7, dan Mohd Hafifi, 5, tinggal sehelai sepinggang. Kebakaran turut membabitkan dua kereta, sekali gus menyebabkan kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM400,000.


Menurut Sharifah Rosmira, ketika kejadian, dia dan suami bersama dua anaknya itu keluar berniaga di Kedai Lalat dan sepatutnya pulang ke rumah jam 10 malam.

Katanya, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada jiran memaklumkan rumah mereka terbakar.


“Saya bersama suami dan dua anak terus pulang sebelum mendapati api marak memusnahkan rumah. “Pada mulanya saya mahu menyelamatkan barangan sekolah anak, namun api merebak dengan cepat. Kami hanya mampu menyelamatkan televisyen dan kipas dengan bantuan jiran manakala dokumen pengenalan diri saya yang disimpan di rumah semuanya hangus,” katanya.


Menurut Sharifah Rosmira, kediamannya turut dijadikan bengkel kereta dan dua kereta yang dibaiki turut musnah dalam kebakaran itu.

“Saya sedih kerana Ramadan menjelang tiba sedangkan kami tinggal sehelai sepinggang. Tidak tahu bagaimana kehidupan selepas ini dan kami mungkin menumpang sementara di rumah keluarga di Gunong Ba.


Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Mohd Zainudin Senawi berkata, seramai 19 anggota bomba terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran selepas ke tempat kejadian bersama empat jentera.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pada jam 7.06 malam sebelum tiba ke tempat kejadian pada jam 7.11 malam.


“Sebaik tiba, rumah mangsa sudah 80 peratus terbakar termasuk dua kereta. Bagaimanapun kita berjaya menyelamatkan sebuah lagi kereta.


“Punca kejadian masih disiasat manakala kerugian dianggarkan RM400,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment