Search This Blog

Monday, July 15, 2013

Acu pisau, ugut ibu kerana tak dapat duit



KUALA TERENGGANU - Hanya kerana duit, seorang anak tergamak mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan mengugut mengacukan sebilah pisau kepada ibu kandungnya.

Kejadian berlaku di Kampung Dalam Kedai Buluh, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, semasa ibu malang berusia 56 tahun itu, berada di Masjid Abidin, di sini, menerima panggilan daripada jirannya memaklumkan suspek, 28, sedang mengamuk dengan memecahkan barang di rumah mereka.

“Terkejut dengan panggilan itu, mangsa bergegas pulang dan sebaik tiba kira-kira jam 1 pagi, mangsa dapati suspek sedang mengamuk sambil memegang sebilah pisau.

“Mangsa cuba menenangkan suspek dan memujuknya untuk berbincang secara baik, namun suspek yang dipercayai tidak berpuas hati kerana permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dilayan mangsa, bertindak agresif mengacukan pisau itu ke arah mangsa,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan dengan tindakan suspek nekad melarikan diri bagi menyelamatkan dirinya sebelum membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu tidak lama kemudian.

“Susulan laporan diterima, suspek ditahan beberapa jam kemudian dan kini direman untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan turut menjelaskan suspek direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

No comments:

Post a Comment