Search This Blog

Friday, July 26, 2013

80 terbunuh nahas kereta api Sepanyol

80 terbunuh  nahas kereta api SepanyolKEADAAN gerabak kereta api yang tergelincir. Gambar kanan, rakaman menunjukkan detik-detik kereta api tergelincir dari landasan di Santiago de Compostela. - Foto AFP Gerabak tergelincir ketika melalui selekoh landasan

Santiago de Compostela: Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 140 lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di luar bandar lama barat laut Sepanyol di sini, petang kelmarin.
Mayat ditutupi selimut dilihat bersebelahan gerabak terbalik dengan asap keluar berkepul-kepul dari bangkai gerabak dengan kejadian dianggap antara nahas kereta api terburuk Eropah.

Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar” Ricardo Montesco, Penumpang

Anggota bomba cuba mencari mangsa yang terselamat sementara anggota perubatan dalam ambulans dan bomba mengelilingi tempat kejadian.

Kerajaan mengandaikan punca kejadian itu, yang berlaku ketika kemuncak festival keagamaan penting bandar itu, sebagai kemalangan.

Sabotaj atau serangan agak mustahil, kata sumber rasmi, walaupun kemusnahan itu mengembalikan ingatan kepada pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 yang mengorbankan 191 orang.

Kereta api Santiago de Compostela dikendalikan syarikat Renfe membawa 247 penumpang ketika ia tergelincir di saat bandar itu bersiap sedia menyambut festival Saint James, apabila ribuan penganut Kristian dari seluruh dunia memenuhi jalanan. 

Batal sambut keraian

Lembaga pelancongan bandar berkata, semua keraian termasuk ‘High Mass’ di gereja dibatalkan kerana seluruh bandar berkabung akibat nahas.

“Kejadian berlaku amat pantas. Kereta api mula tergelincir di selekoh dan gerabak menimpa antara satu sama lain,” kata penumpang, Ricardo Montesco kepada stesen radio, Cadena Ser.

“Ramai penumpang terperosok. Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar. Saya berada dalam gerabak kedua dan kebakaran berlaku. Saya lihat mayat,” tambahnya.

Perdana Menteri, Mariano Rajoy, yang dilahirkan di bandar ini melawat tempat kejadian pagi semalam, kata jurucakapnya.

“Oleh kerana satu tragedi baru saja berlaku di Santiago de Compostela pada kemuncak hari besar, saya hanya dapat menyampaikan simpati mendalam sebagai rakyat Sepanyol dan penduduk Galicia,” kata Rajoy dalam satu kenyataan.

Bergerak laju

Akhbar El Pais memetik sumber kepada siasatan sebagai berkata kereta api itu bergerak dua kali ganda had laju dibenarkan ketika melalui selekoh tajam.

Kedua-dua Renfe dan syarikat kerajaan Adif, yang bertanggungjawab menyelenggara landasan, membuka satu siasatan terhadap punca kejadian gelincir itu, kata Renfe.

Satu sumber rasmi berkata, tiada kenyataan dibuat berkaitan punca nahas sehingga kotak hitam kereta api diteliti namun berkata ia kemungkinan besar satu kemalangan.

“Kami akan melupakan teori ia disebabkan sabotaj atau serangan pengganas,” katanya. - REUTERS/AGENSI

No comments:

Post a Comment