45 premis diarah tutup
Shamsulkahar memakaikan apron kepada salah seorang peniaga sempena kempen sambil diperhatikan Zailan.
SEREMBAN – Sebanyak 45 premis makanan di negeri ini diarah tutup dalam operasi kebersihan besar-besaran oleh Jabatan Kesihatan negeri sejak Jun lalu hingga kini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, arahan dibuat selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak menepati standard kebersihan yang ditetapkan jabatan.

“Sebanyak 147 premis  diperiksa  didapati kotor manakala 45 daripadanya diarah tutup berikutan kebersihan yang tidak memuaskan.

“Daripada jumlah  yang diarahkan tutup, dua daripadanya membiakkan tikus,” katanya pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Makanan Sempena Ramadan di Bazar Ramadan Ampangan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri dan Abu Ubaidah Redza.

Selain itu katanya, sejak Januari hingga sekarang terdapat lebih 1,000 kedai diperiksa secara rawak tetapi hanya tiga peratus diarah tutup kerana tidak mencapai piawaian kebersihan.

Zailan berkata, pembeli dinasihat bertindak bijak dengan memastikan kebersihan makanan yang dijual di Bazar Ramadan sebelum membeli.

“Pengendali makanan juga harus menitikberatkan cara pengendalian makanan yang betul dan bersih misalnya dengan menggunakan sumber air yang bersih dan memegang makanan dengan menggunakan penyepit,” katanya.

Dalam perkembangan lain,  Shamsulkahar berkata, kempen berkenaan dijalankan dalam usaha kerajaan melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan yang berpunca daripada makanan khususnya pada bulan Ramadan.

“Objektif kempen ini adalah untuk melindungi, mendidik sekaligus memberi pendedahan kepada pengendali makanan dan juga orang ramai tentang makanan yang tercemar dan tidak selamat,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa kempen ialah penyerahan apron dan topi kepada peniaga, pemeriksaan gerai, pameran poster keselamatan makanan, kaunter maklumat dan pengedaran risalah kesihatan.