Kota Bharu: Dua anggota tentera maut, manakala dua lagi cedera termasuk seorang parah apabila kereta Honda Accord dinaiki mereka berlanggar dengan kereta PROTON Iswara Aeroback yang membuat pusingan U sebelum hilang kawalan dan merempuh belakang treler, kelmarin.
Kejadian berlaku jam 8.30 malam di Kampung Chicha, di sini ketika anggota tentera berkenaan dalam perjalanan menghadiri kenduri kahwin menyebabkan mangsa Lans Koperal Firdaus Abd Rani, 23, berasal dari Kok Lanas dan Prebet Mohd Nor Hamidi Ismail, 23, dari Sungai Petani, Kedah, meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Kenderaan ke Melor
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja, Pengkalan Chepa, dalam perjalanan menghala ke Melor untuk menghadiri kenduri.
Beliau berkata, kenderaan mereka berlanggar PROTON Iswara Aeroback yang membuat pusingan U sebelum hilang kawalan dan merempuh belakang treler di bahu jalan.
“Pemandu treler dan PROTON Iswara Aeroback didapati tiada di tempat kejadian tetapi berdasarkan maklumat awal, pemandu PROTON Iswara Aeroback berasal dari Ketereh berusia lingkungan 50-an bersama isterinya dalam kenderaan itu,” katanya.
Dalam kemalangan berasingan di Kuala Krai, seorang wanita terbunuh, manakala anak bongsunya parah apabila lori dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh pokok mempelam dalam kejadian di KM 94.1, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, jam 2.15 petang, kelmarin.
Salmah Che Kub, 48, dari Kampung Baruh Kercut, Tok Uban, Pasir Mas, meninggal di tempat kejadian, manakala Izzah Irdina Ishak, 5, dikejarkan ke Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke HUSM.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superitendan Nuraddin Din Wahab, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Sementara itu di Baling, seorang anggota tentera maut, manakala seorang lagi parah apabila kenderaan mereka bertembung dalam satu kejadian di Kilometer 8.5 Jalan Baling-Kroh dekat sini, petang kelmarin.
Misnan Bakri, 48, yang memandu Honda Accord maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan beberapa anggota badan, manakala pemandu sebuah van dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Baling dekat sini, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
No comments:
Post a Comment