3 sekawan cuba seludup mercun gagal
Tiga sekawan ini didenda RM2,500 setiap seorang selepas mengaku bersalah
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani tiga sekawan yang cuba menyeludup pelbagai jenis mercun, tidak menjadi apabila ditahan sepasukan polis marin dalam satu sekatan di Jalan Kampung Pulau Duyong Besar, di sini, kelmarin.

Abdul Muin Muizz Abd Aziz, 21; Mohd Ridwan Razali, 25, dan Ridhzwan Yahya @ Kamarudian, 25, dijatuhi hukuman denda RM2,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan, hukuman penjara tiga bulan akan dikenakan.

Kesemua keputusan itu dibuat majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas mereka mengaku bersalah pada 22 Julai lalu, lebih kurang jam 7.35 malam, di Jalan Kampung Pulau Duyong Besar, di sini, telah didapati di bawah kawalan bahan letupan iaitu pelbagai jenis mercun.

Mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis Marin telah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga 1.3, berwarna putih dinaiki tiga lelaki yang didapati dalam keadaan mencurigakan.

Hasil risikan dan pemeriksaan polis menjumpai 60 bungkusan mercun bola; sembilan kotak mercun mancis dan lima kotak mercun Happy Boom yang disorokkan di dalam but kereta.