Search This Blog

Monday, July 15, 2013

3 kereta rosak dihempap konkrit

3 kereta rosak dihempap konkrit
Kain rentang warna hijau didakwa punca dinding bangunan runtuh. Gambar kecil: Antara kereta yang dihempap.
JALAN AMPANG - Tiga kenderaan dipercayai milik penghuni Pangsapuri Berembang Indah rosak setelah dinding bangunan di tingkat tiga tempat letak kereta runtuh, petang kelmarin.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Berembang Indah, Nor Alizan Ali, 49, berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kain rentang digantung pada dinding bangunan itu bulan lalu.

Menurutnya, kejadian hujan lebat kira-kira jam 4.30 petang menyebabkan berlaku bebanan ke atas kain rentang seterusnya berlaku runtuhan dinding hingga menghempap kereta penghuni.

"Tingkat tiga di atas bangunan ini juga adalah podium di mana di atasnya terdapat taman permainan kanak-kanak untuk penghuni di sini.

“Mujurlah tiada sesiapa dalam kereta dan di bawah bangunan sewaktu batu itu jatuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Alizan berkata, kain rentang itu milik sebuah syarikat swasta yang mempunyai perjanjian dengan pemaju untuk menggantung kain rentang sepanjang sembilan meter atas bangunan ini sehingga 2014.

Katanya, sebelum ini, perjanjian itu tidak pernah dimaklumkan kepada JMB atau penduduk untuk mendapatkan pandangan atau persetujuan bersama.

“Berikutan insiden ini, saya meminta pemaju menutup taman permainan di atas bangunan ini kerana bahaya kepada keselamatan kanak-kanak dan orang awam.

“Penduduk juga meminta pemaju membersihkan sisa batu dan tanah yang masih tersangkut di atas bangunan ini kerana ada kemungkinan runtuhan akan berlaku lagi,” katanya.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memantau selepas kejadian itu dan melarang orang ramai memasuki atau mendekati kawasan runtuhan.

No comments:

Post a Comment