3 beradik dakwa diacu pistol
Sani (kiri) bersama Mohd Faiz (dua kanan) dan dua anaknya menunjukkan laporan polis dibuat di Balai Polis Semanggol.
GUNUNG SEMANGGOL - Tiga beradik mendakwa diacu dengan pistol oleh dua lelaki bertopeng yang menceroboh rumah mereka di Pusat Pemindahan Masyarakat Setempat (PPMS) Batu Enam Bukit Merah, di sini, 18 Julai lalu dan kejadian itu menyebabkan bapa mangsa bimbang kerana kejadian tembakan hampir meragut nyawa anak-anaknya.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam dan ketika itu mangsa, Mohd Faiz Mohd Sani, 15 sedang tidur dalam bilik, manakala dua adiknya sedang bermain di perkarangan rumah.

Menceritakan kejadian, Mohd Faiz berkata, dia terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi pintu dapur di tendang sebelum didatangi salah seorang adiknya yang memberitahu ternampak kelibat orang memakai topeng di dapur rumah.

"Saya terkejut dan terus capai sebilah besi lalu meluru keluar rumah untuk lari bersama adik-adik. Tetapi belum sempat kami keluar rumah kami dengar pekikan mengarahkan kami berhenti.

"Kami juga diberi amaran akan ditembak sekiranya kami gagal mematuhi arahan," katanya.

Tambah Mohd Faiz, dia dan adik-adiknya telah akur dengan arahan lelaki terbabit dan tiba-tiba terlihat kelibat seorang lagi lelaki bertopeng sedang memegang pistol dan keluar dari tempat persembunyiannya di sebalik rimbunan pokok nangka di hadapan rumah mereka.

Katanya, dia akur dan menuruti kehendak suspek yang mengarahkannya untuk melempar besi yang dipegang sebelum tunduk membelakangi suspek kerana takut akan ditembak.

"Ketika itu saya sempat capai sebiji batu besar dan lempar ke arah lelaki itu. Dia (suspek) sempat elak dan kami segera lari bersembunyi.

"Lelaki itu panggil seorang lagi lelaki bertopeng keluar dari rumah untuk mencari kami. Selepas gagal, mereka naik berang dan salah seorang melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum beredar," katanya.

Mohd Faiz berkata, dia dan adik-adiknya dilanda trauma akibat kejadian dan mengambil masa lebih dua jam untuk kembali ke rumah.

Sementara itu bapa mangsa, Mohd Sani Ishak, 43 berkata, dia dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya di Batu 38 Bukit Merah sebelum mendengar bunyi letupan.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada anak angkatnya.

"Sampai rumah saya tidak nampak kelibat anak-anak saya dan cuba menjejak di segenap ceruk taman perumahan. Kami temui mereka dalam keadaan sihat, dua jam kemudian. Saya telah buat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat Semanggol.

"Saya tidak tolak kemungkinan bahawa kejadian ini mungkin satu ancaman keselamatan untuk saya dan keluarga kerana saya pernah terima ugutan bunuh dari seseorang kerana masalah peribadi," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan bagaimanapun menafikan wujudnya ancaman bunuh menggunakan pistol oleh dua suspek lelaki sebagaimana didakwa oleh pengadu berikutan tiada kelongsong peluru di temui di lokasi kejadian serta kenyataan pengadu tidak konsisten.

"Siasatan polis turut mendapati pengadu gagal mengemukakan beberapa bukti penting untuk menunjukkan berlaku jenayah di lokasi kejadian serta wujud ancaman keselamatan seperti didakwa. Keseluruhannya, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai laporan palsu," katanya.