Search This Blog

Monday, June 17, 2013

Wanita hamil 7 bulan asyik berjudi ditahan


Miri: Kelekaan sekumpulan 13 wanita termasuk seorang yang sarat mengandung tujuh bulan berjudi daun terup membawa padah apabila dicekup pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan Piasau Utara, di sini, kelmarin.

Serbuan jam 3.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Pusat Miri diketuai Asisten Superintendan Cheng Soon Yew, sejurus mendapat maklumat awam.


Dalam operasi itu, semua suspek berusia antara 24 dan 63 tahun itu ditahan walaupun beberapa suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

Jurucakap polis berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang tidak berpuas hati dengan kehadiran wanita kaki judi terbabit di rumah berkenaan yang meletak kenderaan sesuka hati di tepi jalan.


Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota dihantar ke lokasi terbabit bagi melakukan intipan, sekali gus mengenal pasti aktiviti mereka sebelum mendapati semua mereka asyik berjudi dalam rumah berkenaan.


“Pihak polis berjaya menahan 13 suspek wanita, malah tiga hingga lima daripada mereka adalah warga emas, selain seorang daripadanya sarat mengandung tujuh bulan.

“Wang tunai dipercayai untuk pertaruhan hampir RM200 dirampas, manakala semua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut termasuk bagi menjalani ujian air kencing sama ada mereka terbabit dalam gejala dadah atau sebaliknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment