Tragedi kampung Kemboja
Anggota bomba berusaha memadamkan api di lokasi kebakaran.
Tragedi kampung Kemboja
Sebahagian daripada peralatan rumah mangsa kebakaran yang sempat diselamatkan.
DUNGUN – “Biarpun api sedang marak, saya memberanikan diri meredah asap tebal untuk naik ke atas bagi menyelamatkan dokumen penting sehingga menyebabkan bahu saya melecur terkena percikan api,” kata Ahmad Adam, 55, salah seorang mangsa yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran, dekat sini, pagi semalam.

Kebakaran kira-kira jam 10.15 pagi di sebuah perkampungan penduduk berketurunan Kemboja itu juga turut memusnahkan empat lagi rumah penduduk yang berada sederet dengan rumahnya yang ranap sama sekali itu.

Mangsa lain yang terlibat adalah Mohd Yusof, 52, Amin Kasim, 49, Rashid Ibrahim, 44 serta Jamil Abdullah, 53.

Heret cucu keluar rumah

Menurut Ahmad, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah bersama dua cucunya, Haris Iskandar Zulkifli, 11, dan Mohd Al Basir, 5, sebelum nampak api tiba-tiba muncul dari siling rumah.

Ahmad berkata, dia cuba memadam api tersebut dengan menggunakan penyapu namun situasi makin cemas sebaik terpandang api sudah marak membakar ruang dapur rumahnya.

Dalam keadaan kelam kabut itu, Ahmad sempat mengheret cucunya keluar rumah untuk menyelamatkan diri sebelum teringat dokumen penting tertinggal di bahagian tingkat atas rumah.

“Dalam keadaan api sedang marak itu, saya memberanikan diri meredah asap untuk naik semula ke tingkat atas sebelum berjaya melarikan dokumen penting.

“Walaupun rumah saya hangus, tetapi saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya yang melecur di bahagian bahu terkena percikan api ketika cuba menyelamatkan diri.

Tunai RM8,000, barang kemas RM21,000 hangus

Seorang lagi mangsa, Jamil Abdullah, 53, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum terhidu asap lalu terkejut apabila mendapati rumah jiran sebelahnya terbakar.

Katanya, sebaik dia keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku, api sudah menyambar dinding rumahnya menyebabkan dia segera mengarahkan isteri serta dua anaknya menyelamatkan diri.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen sahaja, tunai RM8,000 serta barang kemas isteri bernilai kira-kira RM21,000 gagal diselamatkan,” kata Jamil.

Peristiwa terburuk

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Zulkhairul Mohd Razilah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam di bilik kawalan jam 10.20 pagi, pihak bomba bersama tiga jentera masing-masing dua dari Balai Penyelamat Kuala Dungun dan sebuah dari Balai Paka bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihak bomba berhadapan sedikit kesukaran untuk memadamkan api berikutan kedudukan rumah yang terletak agak berdekatan antara satu sama lain selain jarak punca air yang terletak agak jauh dari lokasi kebakaran.

Api bagaimanapun berjaya dipadamkan beberapa jam kemudian.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan tafsiran awal pemilik rumah terbabit, kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM800,000 termasuk bangunan, peralatan serta tunai yang musnah dalam tragedi terburuk di perkampungan terbabit sejak ia mula dibuka lebih 30 tahun lalu itu.