Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Tertuduh mengamuk gambar dirakam

Tertuduh mengamuk gambar dirakam
Mahendran mendekati jurugambar sambil menengkingnya manakala beberapa wartawan hanya memerhatikannya.
GEORGETOWN - Keadaan agak kecoh apabila seorang tertuduh ‘naik angin’ melihat gambarnya dirakam oleh jurugambar dan wartawan di luar mahkamah sesyen di sini semalam

S Mahendran Sivalingam, 23, didakwa melakukan seks luar tabii ke atas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, kelihatan menengking sebelum menghempaskan topi keledar yang dipakainya di hadapan seorang jurugambar kerana berang.

Selepas selesai perbicaraan semalam, lelaki itu cuba mengelak wajahnya dirakam jurugambar di luar mahkamah dengan memakai topi keledar bercermin gelap, cermin mata gelap dan jaket.

Sejurus keluar menggunakan pintu laluan peguam dan timbalan pendakwa raya, dia berhenti di penjuru luar mahkamah itu seketika apabila diekori beberapa jurugambar dan wartawan. Pada awalnya, lelaki itu cuma menutup muka menggunakan jaket yang dipakai.

Secara tiba-tibanya, keadaan menjadi tegang apabila dia mula menengking ke arah jurugambar akhbar The Star, Zainudin Ahad,  sambil berkata, ‘tidak cukup lagikah (gambar) kamu ambil', 'mahu apa lagi, berapa lagi gambar u all mahu ambil'.

Dengan nada marah, dia terus mendekati Zainudin sambil mendesaknya agar terus mengambil gambarnya kerana marah dengan tindakan jurugambar itu.

Lelaki itu turut membuka jaket dan topi keledar yang dipakai ketika menghampiri jurugambar itu sambil menjerit 'ambillah lagi gambar sampai awak puas hati'.

Selain itu, tertuduh menggertak lima wartawan termasuk wartawan Sinar Harian yang berada tidak jauh dari situ kerana tidak puas hati.

Tertuduh kemudian ditenangkan bapanya yang berada tidak jauh dari situ sebelum membawanya turun.

Sementara itu, pada hari kedua perbicaraannya semalam, ibu mangsa yang menjadi saksi kedua pihak pendakwaan memberitahu mahkamah tujuan beliau datang ke mahkamah (kelmarin) adalah untuk membela nasib anak sulung perempuannya yang  diliwat oleh rakan suaminya itu.

Ibu kepada mangsa yang kini berusia empat tahun itu, berkata beliau dan kedua anaknya mengenali tertuduh hampir setahun menerusi suaminya.

“Tertuduh pernah singgah ke rumah saya sebanyak tiga kali sebelum kejadian itu berlaku. Anak perempuan mengenali Mahendran dengan panggilan ‘mamu’.

“Pada awal pagi kejadian itu, kira-kira jam 6 pagi Mahendran menumpang rumah saya dengan alasan bapanya tidak membuka pintu rumah kerana lewat balik ke rumah.

“Tetapi, kami memberi kebenaran kepada Mahendran dengan syarat dia tidur di ruang tamu,” katanya, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Saksi itu berkata kira-kira jam 12 tengah hari, beliau dan suaminya keluar untuk membeli makanan untuk anak mereka.

“Kira-kira 10 minit kemudian, kami sudah sampai  di luar rumah, terdengar kedua-dua anak menangis teresak-esak bukan menangis seperti biasa," katanya.

“Kami panggil Mahendran beberapa kali dan beberapa minit kemudian barulah lelaki itu menyahut ‘oh’ dan membuka pintu. Masa itu, kelihatan Mahendran mendukung anak perempuan saya (mangsa) d
 Menurutnya, sebaik anak perempuan melihat bapanya, dia lari dan memeluk kaki bapanya dan memberitahu takut sambil menunjukkan jarinya ke arah Mahendran.

“Masa itu, suami mendukung anak saya ke bilik untuk memeriksa. Dia kata lampin pakai buang anaknya tidak kemas. Satu daripada gam napkin itu tidak melekat. Pada awal, dia (tertuduh) kata tidak ada apa-apa.

“Buat kali kedua, saya membuat pemeriksaan dan mendapati kesan koyakan dan darah di bahagian dubur anak saya. Saya ada tanya Mahendran apa yang dilakukan ke atas anak saya, tetapi dia duduk atas meja kaca tanpa berkata apa-apa pun,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu, berkata ketika itu, suaminya dalam separuh sedar lalu memukul tertuduh menggunakan tangan.

“Masa itu, saya lari keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran untuk menghubungi polis,” katanya dengan nada sebak ketika menceritakan semula peristiwa hitam yang menimpa anaknya itu.

Mahendran yang didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii  ke atas mangsa berusia tiga tahun, di rumah mangsa di Bayan Lepas, antara jam 12.50 tengah hari hingga 1.20 petang, 4 Ogos tahun lalu.

Zulhazmi kemudian menetapkan kes itu sambung bicara pada 20 dan 21 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment