Search This Blog

Wednesday, June 26, 2013

Tenggiling: 6 lelaki dipenjara setahun, denda RM55,000


Oon Eng Beng (kiri) dan Syed Muhayazid Syed Mohamed antara enam lelaki dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan menyimpan tenggiling di Mahkamah Sesyen, Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 26 Jun - Enam lelaki termasuk dua beradik dihukum penjara setahun dan denda berjumlah RM55,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pindaan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Nazeri Hassan, 23, Oon Eng Beng, 37, Muhammad Aidi Azwan Azahari, 32, Syed Muhayazid Syed Mohamed, 40, dan Mazlan Razaki, 33, serta adiknya, Muhamad Rizal, 31, turut dipenjara 15 bulan lagi jika gagal melunaskan denda tersebut.
Hakim Mohd. Rosli Osman memutuskan demikian selepas berpuas hati, keterangan kesemua tertuduh di akhir kes pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan dengan syarat tertuduh membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000 seorang.
Mereka masing-masing menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 68(1)(a), Seksyen 69(1), Seksyen 70(1) dan Seksyen 86(1)(c) akta tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Nazeri, Eng Beng dan Muhammad Aidi didakwa secara bersama menyimpan 23 tenggiling betina yang tidak matang iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi, tanpa sebarang permit khas.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta di Ladang Getah Pantong, Changlun dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi, pada 22 September tahun lalu.
Mohd. Rosli memerintahkan ketiga-tiga tertuduh membayar denda sebanyak RM20,000 setiap seorang atau penjara enam bulan jika gagal melunaskan denda.
Bagi kesalahan menyimpan 12 ekor tenggiling tidak matang pula, mereka didenda RM30,000 setiap seorang atau penjara enam bulan.
Ketiga-tiga tertuduh juga dipenjara selama setahun dari tarikh hukuman atas kesalahan menyimpan 15 tenggiling betina.
Setiap tiga tertuduh ini juga diperintahkan membayar denda RM5,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan keempat kerana mengurung 50 tenggiling dalam bungkusan karung plastik.
Pendakwaan diketuai kumpulan pendakwa dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar diketuai Faridz Gohim Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Lim Wei Yong yang menyebut bagi pihak peguam utama mereka, P. Ravee yang tidak dapat menghadiri prosiding.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130627/ma_04/Tenggiling-6-lelaki-dipenjara-setahun-denda-RM55000#ixzz2XQIlg1IB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment