Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Suspek direman tujuh hari

Suspek direman tujuh hari
Dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh warga emas mendapat perintah reman tujuh hari di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
IPOH - Hasil kecekapan polis, dua lelaki berjaya ditahan kerana dipercayai dapat membantu siasatan kes samun dan bunuh yang berlaku di Taman Silibin, di sini, Selasa lalu melibatkan seorang warga emas dibunuh secara kejam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an ditahan di sekitar bandar raya ini pada malam kelmarin.

“Kedua-dua suspek terbabit telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh pagi tadi (semalam) untuk mendapatkan perintah reman.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya ketika dihubungi, semalam.

Chang Keorng berkata, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa tidak mengenali satu sama lain namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengumpul bukti bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Selasa lalu, akhbar tempatan melaporkan A Sampuranam, 75 maut dan dipercayai menjadi mangsa samun dan bunuh ketika bersendirian di rumahnya.

Dalam kejadian jam 3 petang Selasa lalu, semasa pulang dari kerja, cucu perempuan mangsa, M Darshini, 21 menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dipercayai disamun serta dipukul suspek yang menceroboh rumah terbabit.

Pemeriksaan polis pada badan mangsa turut menemui kesan cedera di kepala dan leher dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan laporan diterima mengesahkan mangsa maut akibat dipukul menggunakan objek keras.

No comments:

Post a Comment