Search This Blog

Wednesday, June 26, 2013

Suspek dera 3 beradik direman


KUALA TERENGGANU 26 Jun - Pasangan suami isteri yang merupakan suspek kes dera tiga orang kanak-kanak berusia tujuh, lima dan dua tahun lima bulan di Gong Badak dekat sini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.
Perintah reman itu dikeluarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah, Rosli Ahmad di Mahkamah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan juga dikenakan sebatan.
Mereka tidak memperlihatkan sebarang reaksi dan hanya menunduk muka ketika dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.
Wanita itu muncul dengan lengan berbalut dipercayai akibat patah dan tompok di kepala, seakan kesan kecederaan lama.
Semalam, lelaki berusia berusia 25 tahun itu ditahan bersama isterinya berusia 28 tahun di sebuah rumah kos rendah di Gong Badak dekat sini, tidak jauh dari kediaman yang mereka sewa, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Kedua-dua mereka yang dipercayai positif dadah jenis methampethamine itu dipercayai cuba melarikan diri bersama dua lagi kanak-kanak berusia lima dan dua tahun lima bulan.
Suspek yang bekerja sebagai buruh itu dipercayai mendera abang kepada dua kanak-kanak tersebut sehingga kritikal sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan kelaparan di rumah.
Mangsa turut mengalami kecederaan seperti dicucuh puntung rokok, dipukul, kesan melecur disimbah air panas serta lebam di bahagian mata.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira pukul 5 petang kelmarin hasil maklumat jiran yang terkejut melihatkan keadaan mangsa.
Tiga beradik itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini untuk rawatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130627/je_02/Suspek-dera-3-beradik-direman#ixzz2XQIvXSrq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment