Sindiket lari lintang pukang
Sebahagian dari lima yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap pegawai penguatkuasa dalam satu operasi berhampiran sebuah pasar raya di MITC
Sindiket lari lintang pukang
Pegawai Penguatkuasa PPDNK menunjukkan kad 'koyak dan menang' yang dirampas.
AYER KEROH - Lima remaja yang terlibat dalam mempromosi hadiah 'koyak dan menang' lari lintang pukang apabila mereka dikejar anggota penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang kelmarin, remaja berusia 16 hingga 26 tahun termasuk seorang wanita itu sedang leka memperdayakan orang ramai di sekitar sebuah pasar raya dekat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Kelima-lima mereka termasuk seorang berstatus penduduk tetap (PR) bagaimanapun berjaya ditahan anggota penguatkuasa terbabit.

Pengarah PPDNKK negeri, Muhabir Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan empat pegawainya berikutan aduan dan hasil maklumat orang awam.

“Kita dapati mereka menawarkan hadiah-hadiah lumayan berbentuk wang tunai, kereta, motosikal, pakej pelancongan dan barangan elektrik dengan nilai keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.5 juta.

“Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat diperolehi mengenai butiran syarikat termasuk nama syarikat daripada mereka yang ditahan,” katanya.

Menurutnya, kesemua ditahan akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Sindiket menyasarkan wanita dan golongan berusia dengan menawarkan sekeping kad untuk dikoyakkan sebelum meminta 'mangsa' ke pejabat mereka.

"Biasanya, ahli sindiket ini beroperasi dalam tempoh waktu operasi pasar raya, terutama di kawasan tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, PPDNKK negeri turut menerima tujuh aduan membabitkan sindiket gores dan menang dengan jumlah kerugian bernilai RM17,500 sepanjang bulan ini sahaja.