Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

Siasat kes cinta Internet jumpa dadah


Kajang: Lain yang dicari lain ditemui. Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang menyerbu sebuah rumah pangsapuri di Bandar Sungai Long di sini, menemui beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, JSJK menerima maklumat awam mengenai kegiatan satu sindiket penipuan cinta Internet membabitkan warga Afrika di rumah berkenaan.


Bagaimanapun, sebaik serbuan dibuat, polis menemui beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 876 gram yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kes itu selepas dimaklumkan JSJK sebelum mengesan suspek.


Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan rumah itu dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah berdasarkan penemuan pelbagai peralatan di dalam rumah berkenaan.


“Sehingga kini, polis masih memburu suspek yang terbabit melakukan jenayah itu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Katanya, turut ditemui di dalam rumah berkenaan adalah dua pasport milik lelaki warga negara Nigeria dan Malawi disyaki melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Balai Polis Kajang atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment