RM90,000 ganti rugi ladang hangus
Ismail (dua, kanan) ketika melawat ke ladang nanas Air Hitam yang musnah terbakar sejak minggu lalu.
MUAR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan bantuan RM90,000 kepada tujuh pengusaha ladang nanas di Air Hitam, dekat sini, sebagai ganti rugi ladang milik mereka yang terbakar minggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan kewangan tersebut disalurkan dalam bentuk benih, baja dan pelbagai keperluan lain bagi membolehkan penanaman semula dilakukan.

“Bantuan ini menyamai kerugian yang dialami pengusaha kerana 12.9 hektar keluasan terlibat dalam kebakaran ini adalah di bawah seliaan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (Lembaga Nanas) dan ditanam di tanah milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ).

“Selain itu, kita juga akan beri bantuan lain seperti menaik taraf jalan di ladang dan membesarkan parit serta bina pintu kawalan air dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya pada sidang media selepas melawat ladang itu, semalam.

Ismail mengarahkan parit di ladang tersebut dibesarkan kerana ladang-ladang di kawasan itu kerap terbakar setiap tahun sekaligus menyukarkan bomba memadam api berikutan kekurangan sumber air.

Jelasnya, dengan adanya takungan air itu nanti akan memudahkan untuk mendapatkan sumber air dan kerja-kerja memadam kebakaran akan lebih mudah dilakukan.

Beliau turut mengingatkan petani dan peladang di kawasan berdekatan agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan jerebu lebih-lebih lagi daerah ini paling teruk dilanda bencana itu minggu lalu.

Ladang itu mula terbakar Selasa lalu dan pihak bomba melibatkan 70 anggota Balai Tangkak, Bukit Gambir, Labis, Kluang serta Pontian, memulakan kerja-kerja memadam api sehari selepas itu secara berperingkat.

Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kelmarin.