RM24,586 wang palsu dirampas
Harun menunjukkan wang palsu yang berjaya dirampas.
LEDANG - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan percetakan dan pengedaran wang palsu membabitkan rampasan berjumlah RM24,586 selepas menahan dua lelaki, Ahad lalu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris berkata, menerusi tangkapan pertama, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan ketika sedang mengisi minyak motosikal di sebuah pam minyak di Tanjung Agas, dekat sini.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu polis telah menemui sejumlah wang kertas dipercayai palsu bernilai RM22,576 dalam beg sandang yang dipakainya.

“Suspek berasal dari Sungai Mati dan bekerja sebagai buruh dipercayai mahu mengedarkan wang tersebut kepada pelanggannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Harun berkata, suspek kedua pula yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai gambar berjaya ditangkap di rumahnya di Muar.

Katanya, hasil pemeriksaan polis telah menemui wang kertas dipercayai palsu berjumlah RM2,010 yang disembunyikan di rumah tersebut.

“Kita turut menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencetak wang palsu seperti mesin pencetak, dua set komputer, kertas A4 dan pisau.

“Mereka adalah rakan dan dipercayai baru enam bulan aktif dalam kegiatan tersebut,” katanya.
Katanya, tindakan lanjut dilakukan dengan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara dan terbukti wang itu adalah palsu.

Jelasnya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengetahui tujuan percetakan tersebut sama ada untuk kegunaan sendiri ataupun dijual.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu tetapi tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Mereka ditahan reman sehingga esok (28 Jun) untuk membantu siasatan dalam usaha gerakan menjejaki saki baki ahli yang masih bebas,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489A dan Seksyen 489C kanun keseksaan.