Search This Blog

Saturday, June 29, 2013

Punca kematian kanak-kanak disiasat




BUTTERWORTH - Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun enam bulan yang dipercayai akibat demam dan sakit tekak pada 22 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata setakat ini pihaknya mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), dekat sini.
 
"Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kanak-kanak itu meninggal dunia kerana penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai Hospital Seberang Jaya (HSJ) kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, di sini hari ini.
 
Dr Lailanor berkata kanak-kanak itu dibawa ke sebuah hospital pakar swasta di Pulau Pinang pada 17 Jun lepas sebelum dirujuk ke HPP pada 21 Jun dan meninggal dunia sehari kemudian.
 
"Laporan pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mendapati kanak-kanak terbabit meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru dan ujian makmal yang dilakukan untuk adeno dan influenza virus termasuk H1N1 juga menunjukkan keputusan negatif.

"Selain itu, Jabatan Kesihatan turut menjalankan ujian ke atas beberapa individu yang mempunyai hubungan dan yang sering berhubung dengan kanak-kanak terbabit kesemua mereka disahkan bersih daripada sebarang jangkitan," katanya.
 
Dr Lailanor berkata tadika yang dihadiri kanak-kanak berkenaan diarah ditutup selama 10 hari sebagai langkah pencegahan bagi mengelak berlaku jangkitan ke atas kanak-kanak lain.
 
"Setakat ini, hanya kanak-kanak lelaki itu sahaja yang mempunyai simptom demam dan sakit tekak manakala dua kanak-kanak lain di tabika itu hanya mengalami demam biasa ketika pegawai kami melakukan siasatan di sana," katanya.
 
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa menjaga kebersihan diri serta mendapatkan rawatan awal sekiranya anak mereka mengalami simptom berkaitan demam dan sakit tekak.
 
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr Afif Bahardin berkata setakat ini masih belum diketahui sama ada kanak-kanak terbabit meninggal dunia kerana HFMD dan perkara itu hanya boleh disahkan selepas menerima laporan penuh daripada ujian makmal yang dilakukan ke atas sampel si mati.
 
"Kita sudah pun menghantar sampel kanak-kanak itu ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur untuk diuji dan kini menunggu laporan rasmi daripada mereka bagi mengetahui punca sebenar kematian kanak-kanak itu.
 
"Begitupun, setakat ini pneumonia dipercayai menjadi punca kematian kanak-kanak itu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment