IPOH - Polis menahan dua suspek disyaki membunuh seorang wanita warga emas dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Silibin di sini, Selasa lepas.
  
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di sekitar bandar raya Ipoh pada tengah malam dan awal pagi ini.
  
"Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.
  
Dalam kejadian itu, A.Sampuranam, 75, ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan leher di rumahnya dipercayai selepas disamun.
  
Mayat mangsa ditemui di ruang dapur rumah teres itu oleh anak perempuannya yang baru daripada makan tengah hari pada pukul 4 petang pada hari kejadian. - Bernama