Polis buru suspek bakar wanita
Nasir menunjukkan gambar suspek
GEORGETOWN - Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai terlibat dengan  kes membakar isterinya di Bukit Mertajam, tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata suspek menghilangkan diri dan tidak berjaya dikesan sejak hari kejadian.

"Lelaki yang mempunyai dua anak tidak mempunyai pekerjaan dan pernah mempunyai rekod kesalahan lampau kerana sengaja mencederakan isterinya tahun lalu.

"Alamat terakhirnya ialah 59 Lorong Bayu Mutiara 4, Taman Bayu Mutiara Bukit Mertajam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, polis sudah merekodkan rakaman percakapan empat saksi termasuk dua anak mangsa berusia lapan dan 10 tahun.

Beliau berkata mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Pulau Pinang.

"Polis belum dapat merekodkan apa-apa percakapan daripada mangsa kerana keadaannya masih kritikal.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.