Penjenayah guna kain rentang sebelum larikan RM217, 950 daripada mesin ATM
Wang berjumlah RM217,950 berjaya dilarikan oleh penjenayah menerusi satu mesin ATM manakala mesin deposit tunai tidak dipecahkan.
Penjenayah guna kain rentang sebelum larikan RM217, 950 daripada mesin ATM
Pihak polis menyiasat kawasan kejadian dan memeriksa kesan cap jari di kain rentang yang digunakan untuk menutup cermin bangunan ketika melakukan rompakan.
PASIR MAS – Penjenayah menggunakan taktik melekatkan kain rentang untuk menutup cermin Bangunan Tabung Haji ketika merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, penjenayah menggunakan taktik itu bagi mengelak daripada disedari oleh orang awam.

Menurutnya, wang berjumlah RM217,950 berjaya dilarikan oleh penjenayah menerusi satu mesin ATM manakala mesin deposit tunai tidak dipecahkan.

“Kita percaya ia dilakukan di awal pagi namun disedari oleh orang awam yang mahu menggunakan ATM pada jam 8.30 pagi.

“Berdasarkan kesan pada mesin, penjenayah menggunakan api gas oxy (Oxy-Acetylene) untuk memecahkan mesin,” katanya.

Mazlan berkata, siasatan diteruskan dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan cap jari.

Ujarnya, pihaknya memohon kerjasama orang ramai dan saksi yang melihat kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan rompakan bank di Pasir Mas.

Sebelum ini, penjenayah berputih mata apabila gagal melarikan wang dari ATM di Agro Bank Pengkalan Pasir, jam 5.30 pagi, 1 Disember 2012 lalu.

Dalam pada itu, seorang peniaga dekat bangunan Tabung Haji Pasir Mas, terkejut apabila pihak polis menyita sekitar premis perniagaan jam 9 pagi tadi.

Pemilik kedai, Lim Chung Yau, 53, berkata, dia hanya mengetahui ATM Bank Islam yang terletak di dalam bangunan Tabung Haji, bersebelahan kedainya dirompak setibanya di kedai pagi itu.

Menurutnya, dia mendapati terdapat kain rentang (banner) ditampal di depan cermin bangunan tersebut.

Katanya, dia mengesyaki penjenayah menggunakan taktik itu bagi mengelak daripada dilihat orang awam mahupun pihak polis.

“Saya percaya orang yang merompak ini, bukan calang-calang orang kerana menggunakan alat berteknologi tinggi malah saya tidak mendengar sebarang bunyi penggera keselamatan.

“Khamis lalu, saya tutup kedai jam 6 petang, manakala semalam hari Jumaat semua kedai ditutup. Masa itu, saya tidak nampak kelibat orang mencurigakan atau kejadian pelik,” katanya.

Menurutnya, ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan ini sejak dia memulakan perniagaan 12 tahun lalu.