Penjenayah bermaharajalela'
Penjenayah dipercayai masuk melalui bumbung berdasarkan siling yang berlubang.
Penjenayah bermaharajalela'
Ahmad Sukri menunjukkan pintu yang dipecahkan angkara perbuatan penjenayah di salah sebuah kediaman di di kawasan perumahan Tok Sira.
KUANTAN – Walaupun kawasan perumahan Tok Sira, di sini ada menyediakan kemudahan rondaan pada waktu malam ia tidak memberi sebarang kesan kepada penjenayah kerana terdapat rumah di situ yang dicerobohi.

Seorang pengawal keselamatan, Ahmad Sukri Sugumaran Abdullah, 63 berkata, dia ditugaskan untuk menjaga beberapa buah rumah di kawasan itu tetapi penjenayah cukup licik menjalankan kegiatan dan menceroboh salah sebuah rumah.

Menurutnya, kejadian itu bukan kali pertama kerana sebelum ini ia pernah menjadi sasaran perompak.

“Semalam saya datang kira-kira jam 6.30 petang untuk menjalankan tugas tetapi terkejut kerana didapati pintu rumah tidak berkunci.

“Apabila masuk didapati rumah berselerak dan setelah diperiksa terdapat beberapa barang berharga seperti telefon bimbit milik tuan rumah sudah hilang," katanya.

Katanya, dia diamanahkan untuk menjaga rumah tersebut kerana pemiliknya bekerja di tempat lain.

“Ini bukan kali pertama sebelum ini  rumah sama pernah dicerobohi dan dipercayai perompak masuk melalui bumbung.

“Penjenayah masuk melalui bumbung menyebabkan bumbung rumah berlubang dan mereka seolah-olah tidak takut dengan pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kata Ahmad Sukri Sugumaran, anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ada menjalankan rondaan tetapi seolah-olah tidak berkesan.

Dia bimbang dengan keadaan itu dan khuatir penjenayah akan bertindak lebih bertindak agresif.
“Saya juga berharap pihak berkuasa  mengambil tindakan lebih drastik supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya sudah buat laporan polis dengan harap kawasan ini lebih selamat dan penjenayah berjaya ditangkap,” katanya.