Penganggur maut dibelasah
Prabagaran
IPOH - Selepas tiga hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) seorang penganggur maut pada petang kelmarin akibat kecederaan parah dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di Falim, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Tarmizi Abdul Haq memaklumkan, mangsa, S Prabagaran, 27 disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 3 petang.

Menurutnya, mangsa dipercayai maut akibat kecederaan serius di kepala dan anggota badan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dipukul sekumpulan lelaki sehingga tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

“Mengikut laporan bedah siasat, mangsa maut akibat kecederaan parah terutamanya pada bahagian kepala," katanya.

Tambah beliau, polis masih meneruskan siasatan untuk menjejaki dalang yang terbabit dalam kejadian tersebut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.